Muhammad Riza Chalid, yang dikenali sebagai “raja minyak”, akhirnya ditetapkan sebagai suspek oleh pihak Peguam Negara Indonesia pada Khamis, 10 Julai 2025. Beliau disiasat atas dakwaan terlibat dalam kes rasuah besar-besaran berkaitan pengurusan pembelian minyak mentah dan produk kilang oleh PT Pertamina Subholding dari tahun 2018 hingga 2023.
Yang paling mengejutkan — kerugian negara capai Rp285 trilion, jauh lebih tinggi daripada anggaran awal iaitu Rp193.7 trilion!
Riza Chalid kini menjadi buruan pihak berkuasa Indonesia kerana dipercayai telah melarikan diri ke Singapura, sebelum menyeberang masuk ke Malaysia. Usaha mengesan beliau sedang giat dijalankan melalui kerjasama antarabangsa.
Dengan penetapan Riza sebagai suspek, jumlah keseluruhan yang terlibat dalam kes ni meningkat kepada 18 orang, termasuk 9 nama baharu yang dikaitkan sebagai “gerabak Riza Chalid & kroni-kroninya”.
Antara nama besar yang kini turut disiasat:
- Riza Chalid – pemilik manfaat sebenar PT Tangki Merak & PT Orbit Terminal Merak (OTM).
- Alfian Nasution – bekas VP Supply & Distribution Pertamina, juga bekas CEO Pertamina Patra Niaga.
- Hanung Budya – bekas Pengarah Pemasaran Pertamina.
- Toto Nugroho – CEO semasa PT Industri Baterai Indonesia.
- Dwi Sudarsono – VP Perdagangan Minyak & Produk di ISC.
- Arif Sukmara – Pengarah Gas dan Petrokimia Pertamina International Shipping.
- Hasto Wibowo – bekas SVP Integrated Supply Chain (2018–2020).
- Martin Haendra Nata – Pengurus Bisnes PT Trafigura.
- Indra Putra – Pengurus Bisnes PT Mahameru Kencana Abadi.
Sembilan suspek lain dah didakwa lebih awal, termasuk anak kandung Riza, M. Kerry Andrianto Riza yang juga Pesuruhjaya PT OTM.
Menurut Pengarah Siasatan, Abdul Qohar, Riza Chalid bukan calang-calang orang — dia dalang utama skim rasuah ni. Dengan dua syarikat besar bawah kawalannya — PT Orbit Terminal Merak dan PT Tangki Merak — dia didakwa menyusun strategi untuk merugikan negara.
Terminal minyak milik PT OTM di Cilegon, Banten, pun dah dirampas oleh pihak kejaksaan. Ia digunakan sebagai alat dalam skim sewa terminal simpanan minyak Pertamina secara haram — walaupun waktu tu Pertamina tak perlukan pun tambahan kapasiti simpanan BBM!
Lagi mengejutkan, kontrak kerjasama tu bukan saja ada unsur tekanan politik, tapi tak ikut prosedur langsung. Salah satu bukti kuat yang ditemui adalah penghapusan satu klausa penting dalam kontrak — yang asalnya menyatakan terminal tu akan berpindah milik kepada Pertamina selepas 10 tahun. Tapi Riza Chalid hapuskan klausa tu secara sepihak, menyebabkan Pertamina terpaksa terus bayar sewa tanpa henti.
Kerugian akibat penghapusan klausa tu je dah cecah Rp2.9 trilion.
Lepas tu, Alfian Nasution pula dilaporkan setuju untuk tempatkan BBM import kat PT OTM dengan kadar sewa USD6.5 per kiloliter tanpa sebarang rundingan, dan terus ikat kontrak selama 10 tahun.
Hasil audit dari Badan Pemeriksa Kewangan (BPK) sahkan, keseluruhan kerugian negara akibat skandal minyak ni mencecah Rp285 trilion.
Kini, Riza Chalid sedang diburu oleh pihak Indonesia, dan kerjasama dengan Singapura & Malaysia sedang dijalankan bagi memastikan beliau berjaya ditahan dan dibawa ke muka pengadilan. Skandal ni bukan saja gegarkan industri minyak, tapi juga menunjukkan betapa besarnya pengaruh & kuasa yang digunakan untuk kepentingan peribadi.