SELANGOR – Negeri Selangor merekodkan jumlah kes kebankrapan tertinggi di Malaysia, dengan golongan guru dikenal pasti antara penjawat awam yang paling ramai terlibat, menurut Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Datuk Ishak Bakri.

Beliau berkata, dapatan itu berdasarkan data terkumpul kes kebankrapan serta hasil pelaksanaan program literasi kewangan yang dijalankan MDI di Selangor. Antara punca utama dikenal pasti ialah komitmen pinjaman peribadi yang tinggi, khususnya dalam kalangan individu berpendapatan tetap.
“Golongan berpendapatan tetap seperti guru didapati lebih mudah memperoleh kelulusan pinjaman peribadi. Namun, sekiranya komitmen kewangan tidak diurus secara berhemah, mereka berdepan risiko tekanan kewangan jangka panjang sehingga membawa kepada kebankrapan,” katanya.
Menurut beliau, kestabilan pendapatan sering menjadi faktor institusi kewangan meluluskan pinjaman dengan lebih mudah, sekali gus mendedahkan golongan ini kepada beban hutang yang berlebihan jika tidak dikawal.
Datuk Ishak berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Literasi Kewangan bersama Institusi Pengajian Tinggi di Politeknik Merlimau Melaka, Isnin lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan seramai 200,000 individu berjaya dilepaskan daripada status kebankrapan sepanjang tahun lalu, sekali gus melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, sistem insolvensi negara kini tidak lagi bersifat menghukum semata-mata, sebaliknya menumpukan kepada aspek kebajikan dan pemulihan selaras dengan dasar kerajaan untuk memberi peluang kedua kepada individu yang terjejas.
“Antara pembaharuan utama ialah pindaan Akta Insolvensi pada tahun 2023 yang membolehkan Ketua Pengarah Insolvensi melepaskan individu bankrap tanpa perlu melalui perintah mahkamah, tertakluk kepada kriteria tertentu di bawah pelaksanaan Dasar Peluang Kedua,” jelasnya.
Beliau berkata, antara kriteria utama pelepasan termasuk individu berusia 70 tahun ke atas, kes kebankrapan yang berlarutan terlalu lama serta individu yang disahkan mengalami masalah kesihatan mental.
Usaha berterusan melalui pendidikan literasi kewangan dan pendekatan pemulihan ini diharap dapat membantu mengurangkan kadar kebankrapan, khususnya dalam kalangan penjawat awam dan golongan berpendapatan tetap di negara ini.



