Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan aset mewah bernilai lebih RM750 juta yang didakwa milik Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Menurut laporan The Edge, Mahkamah Tinggi telah meluluskan permohonan ex-parte SPRM untuk membekukan aset bernilai £132 juta (kira-kira RM758.2 juta), yang terdiri daripada dua bangunan komersial, lima kediaman mewah, dan satu akaun bank.
Akaun bank tersebut dilaporkan didaftarkan atas nama Ilham Foundation – sebuah yayasan amal yang dipengerusikan sendiri oleh Na’imah dan aktif dalam bidang kebajikan, seni, budaya serta pendidikan.
Perintah pembekuan ini dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. SPRM kini dalam proses menyerahkan perintah mahkamah ini kepada pihak berkuasa United Kingdom untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, hartanah tersebut diperoleh antara tahun 2013 hingga 2021.
Kerjasama SPRM dengan Pihak Berkuasa Luar Negara
SPRM turut menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa di Switzerland dan United Kingdom susulan maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar negara. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini memaklumkan bahawa agensi itu sedang menilai kemungkinan merampas lebih RM2 bilion aset yang tidak diisytiharkan dan dipercayai dimiliki oleh Daim, ahli keluarganya serta proksi-proksinya.
Peguam Dakwa Tindakan Bermotif Politik
Namun begitu, tindakan SPRM ini mendapat kecaman daripada pihak peguam yang mewakili keluarga Daim. Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh menyifatkan langkah itu sebagai bermotif politik dan tidak berlandaskan undang-undang. Mereka menegaskan bahawa Tun Daim tidak pernah didakwa atau disabitkan atas sebarang kesalahan.